IPOH: Barisan Nasional (BN) Perak mempertaruhkan veteran UMNO untuk merampas kembali kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Manik dan Tualang Sekah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

BN memberi mandat kepada Datuk Ibrahim Katop, 65, yang pernah memenangi kerusi DUN Sungai Manik pada PRU11 untuk bertanding semula di kerusi sama.

Ketua UMNO Bahagian Kampar, Datuk Abd Rahman Md Som, 70, pula diberi tanggungjawab di kerusi Tualang Sekah.

Kedua-dua mereka diletakkan di kerusi terbabit berikutan penyandangnya keluar meninggalkan BN untuk menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) selepas PRU14 lalu.

KLIK DI SINI UNTUK BACA SEMUA MENGENAI PRU15

Perkara itu diumumkan Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Saarani Mohamad sempena majlis Pengumuman Calon PRU15 BN Perak di sini, hari ini.

Pada PRU14 lalu, BN meletakkan Datuk Zainol Fadzi Paharudin di Sungai Manik dan Datuk Nolee Ashilin Mohammad Radzi di Tualang Sekah, dengan kedua-dua mereka berjaya mempertahankan kerusi berkenaan yang disandang sejak 2008.

Dalam pengumuman calon Perikatan Nasional (PN), pada Selasa malam, Zainol Fadzi disenaraikan semula bertanding mewakili Bersatu di DUN Sungai Manik dan Parlimen Teluk Intan, manakala Nolee Ashilin beralih ke kerusi Parlimen Tanjong Malim.

Perak mempunyai 59 kerusi DUN dan pada PRU14 lepas, BN menang di 29 kerusi kesemuanya menerusi calon UMNO.